Wednesday, September 1, 2010

Ambil lah sedikit masa.



Jul 3rd, 2009 
by laksamana. 
manusia, perlu duduk sebentar untuk mengecas keimanan mereka...


 



Hidup ini sibuk bukan? Kadang-kadang, kepala kita penuh dengan pelbagai permasalahan yang menyumbat. Masalah diri, masalah keluarga, masalah kerja, masalah rakan-rakan. 

Segalanya menjadi mehnah dan tribulasi dalam kehidupan.

Sebagai manusia biasa, pasti ada suara di dalam hati kita yang inginkan kerehatan dari kemasyghulan dunia ini. Aku nak rehat! Mungkin itu jeritan jiwa kita.

Boleh kah kita berehat dari kehidupan?

Mungkin anda kata, mustahil. Kemungkinan anda melihat, kematian adalah satu-satunya cara untuk kita berhenti dari menjalani kehidupan.
Tapi pada saya, rehat dari kehidupan ketika kita masih hidup adalah tidak mustahil.

Marilah, kita ambil sedikit masa untuk berehat dari kehidupan kita.

Satu hari, Abdullah ibn Rawahah RA berkata kepada para sahabat:
“ Marilah kita duduk untuk beriman sebentar”

Kata-katanya pada awal itu, dilihat pelik oleh para sahabat yang lain. Beriman hanya sebentar sahaja? Namun akhirnya, semua memahami bicaranya.

Manusia itu terlalu sibuk dengan kehidupannya. Hal itu lah, hal ini lah, sehingga dia terlupa untuk mengecas bateri imannya kepada ALLAH SWT, sehingga dia terlupa untuk memuhasabah akan kehidupannya kepada ALLAH SWT.

Maka, dalam kesibukan urusan kehidupan insan itulah, Abdullah ibn Rawahah RA menyarankan kita untuk duduk walaupun sebentar, untuk kita memperbaharui, memperkuatkan, mengecas kembali keimanan kita.

“ Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” 
Surah Asy-Syams ayat 7-10

Tetapi, siapakah yang memberi ruang dalam hidupnya untuk dia mengecas keimanannya?

Bapa saya pernah bercerita berkenaan seorang pemotong kayu. 
Dia mempunyai sebatang kapak yang tajam. Lalu dia keluar mencari kerja dengan kapaknya itu. Dia bertemu dengan seorang pemilik hutan, yang ingin menggaji seorang pekerja untuk memotong pokok di dalam hutannya itu. Maka, Si Pemotong Kayu meminta pekerjaan itu.

Hari pertama, dia berjaya memotong 20 batang pokok. Pemilik hutan itu kagum dan Si Pemotong Kayu meminta untuk dia melakukan lagi kerjanya esok. Pemilik hutan mengalu-alukan.

Hari kedua, Si Pemotong Kayu hanya mampu memotong 17 batang pokok. Prestasinya menurun. Dia kehairanan. Kenapa? Lalu dia memberi alasan kemungkinan dia tidak memberikan yang terbaik dalam pekerjaannya hari ini. Lantas dia meminta kepada pemilik hutan untuk datang lagi esok, dan dia berjanji dia akan bersungguh-sungguh.

Hari ketiga, Si Pemotong Kayu bekerja dengan bersungguh. Dia menghayun kapaknya kuat-kuat dan laju. Namun, pada penghujung hari itu, dia hanya berjaya menumbangkan 10 batang pokok. Dia amat terkejut. Lebih rendah dari semalam. Semakin hari semakin buruk. Si Pemotong Kayu meminta maaf kepada Pemilik Hutan. Dia berjanji, esok dia akan memperbaiki prestasinya.

Hari keempat, Si Pemotong Kayu bekerja dengan lebih kuat. Dia mencurahkan seluruh tenaganya. Namun, kerjanya semakin perlahan. Untuk menumbangkan sebatang pokok, memakan masa berjam-jam. Akhirnya, di penghujung hari, dia hanya mampu menumbangkan 5 batang pokok sahaja. Dia sedih, dan kehairanan kenapa prestasinya jatuh teruk sedemikian, walaupun dia berusaha kuat. Dia mengadu akan kelemahannya kepada pemilik hutan.

Pemilik hutan tersenyum. Lalu dia berkata:
“ Kamu terlupa, mengambil waktu rehat, untuk mengasah kapak kamu”


Ya. Ada waktu, selepas mengharungi pelbagai masalah, mehnah dan tribulasi, kerja dan tugasan, dalam kehidupan yang kita tidak tahu bila penghujungnya hendak menjengah, kita akan rasa keletihan dan kepenatan. Kadangkala kita tersungkur pula di tengah perjalanan.
Hal ini kerana, kita lupa mengambil sedikit masa, berehat untuk mengecas keimanan kita, memuhasabah kehidupan kita, hubungan kita dengan ALLAH SWT. Kita terlupa akan memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH,w alaupun ALLAH tidak pernah meninggalkan kita.

“ (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)”
Surah Ad-Dhuha ayat 3

Ambil lah sebentar masa rehat, duduklah berseorangan atau bersama teman, muhasabahlah perjalanan hidup, kondisi hati, dan hubungan kita dengan ALLAH SWT. Sematkan azam baru, nyalakan semangat baru, dan suntiklah cita-cita segar untuk perjalanan seterusnya. Dalam setiap perhentian, kerehatan kita itu, kita perbaiki dan pertingkatkan keadaan diri. InsyaALLAH, prestasi kita akan tertingkat, semakin tertingkat dan terus meningkat.

No comments:

Post a Comment