Wednesday, March 18, 2009

Teori Evolusi Cinta


“Korang ni asyik bergayut telefon sampai
jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.
“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka.
Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.
Keras bunyinya.
Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.
“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun.
Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.
“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu
bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu
orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini
banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.
Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang
manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk
mengharuskan perlakuan mereka.


‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah
supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus
mereka kepada Allah.
Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.
Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap
dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri
tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru
bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka
tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap
sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.
“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai
(penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka
melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka
pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada)
mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari
lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah
Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A'araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan
hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah
digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada
kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia
agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar
belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu
Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.
“Asfala saafileen,” kata al-Quran.
Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk
yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:


“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat)
orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu,
lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!”
[al-Baqarah 2: 65]
Inilah TEORI EVOLUSI CINTA.



Bermula dengan sebaik-baik kejadian,
mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya.
Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat
kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya
menjadi kera.
Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet
terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan
Tuhan untuk menipu Tuhan.



BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab
mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan
ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka
maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian
lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran,
mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah
Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan,
tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia
dengan perantaraan HIJAB.
Hijab itu tafsirannya luas.
Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti
tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya,
hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita.
Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

Apakah tujuannya semua itu?
Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka
berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam,
serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama
untuk menolak keperluan batas-batas ini.
“Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith,
ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.
Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi
tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya
segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.
Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.
Iaitulah soal HATI!

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”
Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?
Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang
berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang
perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang
ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian
HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di
puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal
hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang
berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.
Mulut kalian tidak menyebut.
Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.
Tubuh kamu tidak menampakkan calar.
Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus
daging dan tulang temulang jati dirimu.
Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya,
pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.
Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu
versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian
kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi
cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik
Dia.
Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA,
namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA
berbungakan DOSA.
Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.




ABU SAIF @ www.saifulislam. com68000 Ampang

© SAIFULISLAM. COM (1998 – 2008)Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.
Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil.
Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini,
namun alamat Saifulislam. Com hendaklah disertakan bersama untuk
memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan
berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini
tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau
dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik,
mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin
SAIFULISLAM. COM terlebih dahulu."Erti Hidup Pada Memberi"ABU SAIF @ www.saifulislam. com56000 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment