Tuesday, July 20, 2010


Kelebihan dan Keistimewaan Syaaban
www.iLuvislam.com
Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab*
Editor: buluh



PENGENALAN 

Beberapa hari yang lalu saya dihubungi melalui Yahoo Messenger oleh seorang saudari kita dari Jakarta. Tujuannya adalah untuk meminta tolong saya untuk memberikan beberapa artikel mengenai bulan Syaaban ini untuk dimasukkan ke dalam majalah di sana. Namun oleh kerana beberapa artikel yang terdapat di dalam internet membincangkan secara ‘kritikan dengan kritikan' dengan membawakan isu-isu khilaf maka saya mengambil keputusan untuk menolongnya menulis artikel ini. Artikel ini saya sediakan dengan mengetepikan segala isu-isu khilaf dan membawakan fadilat-fadilat amal untuk dijadikan panduan kepada semua pembaca.

Oleh itu, saya ingin memberi ingatan kepada beberapa golongan tertentu agar tidak terjerumus di dalam pertengkaran dan percakaran mengenai isu-isu khilafiyyah seperti ini. Ini bertepatan dengan kenyataan Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam kitabnya al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah sepertimana Kaedah Fiqhiyyah berikut: Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.









MENGENALI BULAN SYAABAN 

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

1. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.

2. Keperkasaan dan ketinggian.

3. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.

4. Kasih-sayang dan kemesraan.

5. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.   






ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN 

1. Menurut Imam Nawawi, hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam. Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.

2. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.

3. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.   







ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN 


Memperbanyakkan Puasa Sunat 

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajibkan) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebuah hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud:
Rasulullah S.A.W. telah berpuasa sebahagian besarnya dari bulan Syaaban.
(Riwayat Nasaie).


Melazimi Berzikir dan Berdoa 
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.
(Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat.
(Riwayat al-Tirmizi).

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.
(Riwayat Muslim).

Sentiasa Bertaubat dan Beristighfar 
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nur: Ayat 31).






KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN 

Adapun antara kelebihan malam Nisfu Syaaban itu ada disebutkan di dalam beberapa hadis. Di malam Nisfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.
(Riwayat Ibn Majah, al-Tabrani dan Ibn Hibban).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.
(Riwayat al-Baihaqi).

Berkata Imam Shafie di dalam kitabnya al-Umm:
Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Berkata Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din:
Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaaban. 





MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN 

Berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiah di dalam kitabnya Majmuk al-Fatawa:
Apabila seorang manusia itu menunaikan solat pada malam Nisfu Syaaban sama ada secara individu atau berjemaah secara khusus sepertimana yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat Islam maka ia adalah baik.

Beliau berkata lagi:
Adapun malam Nisfu Syaaban maka telah diriwayatkan mengenai kemulian / kelebihannya (Nisfu Syaaban) daripada hadis-hadis dan athar. Dinukilkan juga daripada golongan al-Salaf sesungguhnya mereka menunaikan solat padanya (malan Nisfu Syaaban), maka solat seseorang padanya (malam Nisfu Syaaban) secara berseorangan telah dilakukan oleh al-Salaf dan padanya terdapat hujjah maka janganlah ini diingkari. Adapun solat secara jemaah pada ini (malam Nisfu Syaaban) terbina di atas kaedah umum pada berkumpulnya di dalam melakukan ketaatan dan pengibadatan.

Oleh itu, para tabien ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabien dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini.

Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabien itu dan dilakukan juga oleh para ulama.   



PENUTUP 

Marilah bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang mesti direbut. Tulisan ringkas ini adalah sekadar untuk mengingatkan mana-mana yang terleka dan alpa dalam menjalani hidup ini sebagai hamba Allah Taala yang amat kerdil lagi hina. Saya juga tidak bercadang untuk memanjangkan tulisan ini dengan perbincangan berbentuk khilaf yang boleh memeningkan kepala masyarakat. Semoga kita semua berada di dalam redha Allah Taala setiap masa. InsyaAllah.

Wallahualam.


* Penulis merupakan salah seorang Panel Agama di iLuvislam.com. Artikel asal di ambil di blognya di sini:  Syaaban: Ada Apakah Padanya?

Memori Ramadhan

.....di petik dari blog iluvislam.com






Memori Ramadhan
www.iLuvislam.com
Oleh: salmi_humaira91
Editor: Nazarudin



Di sini ingin ku kongsi memori hidupku. Aku bukan seperti kalian dilahirkan sebagai seorang Islam,
Aku dilahirkan dari keluarga yang bukan Islam,
Ini takdir ku….aku tidak pernah menyalahkan Tuhan,
Aku mula  mempelajari Islam kerana ada kepentingan,
Aku belajar Islam tanpa ada niat untuk memeluknya,
Apa yang aku inginkan telah aku perolehi,
Sungguh aku ini mementingkan diri sendiri,
Tatkala bergembira di dalam dimensi sendiri,
Pintu hatiku di ketuk oleh sinar kebenaran,
Sinar kebenaran itu adalah hidayah Allah, ISLAM,
Malam itu aku pergi bertemu seorang ustaz,
Takut-takut hidayah ditarik balik,
Memori 17 Ramadhan masih segar di ingatan,
Malam itu aku diajar mengucap kalimah tauhid,
Malam itu juga aku mengisytiharkan keIslaman diriku,
Dengan rela hati tanpa sebarang paksaan,
Berita gembira ini ingin ku kongsi bersama keluarga tersayang,
Pulang ke rumah ku khabarkan segalanya,
Kerana ku ingin mengajak mereka ikut bersama ku di jalan yang benar ini, “dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.

(Surah asy Syu’ara’; ayat 214)

Tetapi apa yang ku dapat adalah,

Aku diikat, disebat, dan di campak ke dalam longkang,

Perit sahabatku, siksa sahabatku , sakit duhai sahabatku.

Suatu hari aku berjaya dibebaskan oleh seseorang,
Aku keluar pergi berjumpa dengan ustaz tadi,
Lantas ku tanyakan satu soalan,
Patukah aku tinggalkan keluargaku?
Lantas ustaz tersebut menyarankanku supaya terus bersama keluargaku,
Aku disuruh masak berasingan tetapi makan semeja dengan mereka,
Sekali lagi aku diuji, apabila aku tiba dimeja makan,
ku hadiahkan kuntuman senyuman,
Yang lahir dari hati yang merindukan kasih sayang keluarga,
Apa yang ku dapat hanyalah jelingan tajam,
Semua keluargaku makan di tempat yang berasingan dariku,
Pilu hatiku, jijikkah mereka melihatku?
Ku lalui kehidupan penuh penderitaan ini selama dua tahun,
Selama dua tahun jua aku menderita,
 Tanpa kasih sayang keluarga,
Layanan keluarga amat menyedihkan, hati ini pedih bagai dirobek-robek,
Tatkala diri memandang wajah tua ayah bonda,
 Kerinduan mencucuk bagai sembilu tajam,
Hanya sabar yang mampu ku lakukan,
Syukurlah mereka masih menerimaku tinggal disini,
Mujur Allah sentiasa disisi, dan ustaz selalu menasihati,
Lalu kugagahkan diri,

Dalam bulan ramadhan juga,
Barlaku suatu peristiwa, di mana bapaku,
yang berusia 80 tahun bakal dijemput Ilahi,
Adat keluargaku, bila seseorang sedang nazak,
 dia bakal ditinggalkan,
Tetapi aku sebagai seorang Muslim, sebagai anak,
Mana mungkin tergamak hatiku melihat
Bapaku menghadapi sakaratul maut seorang diri,
Aku menunggu dan terus menunggu,
Setiap kali bapaku menggerakkan tubuhnya,
Kubisikkan kalimah  “lailahaillallah”,
Tatkala nyawanya hampir tercabut dari jasadnya,
Dapat kulihat bapaku mengangguk,
dengan anggukan itu maka keluarlah rohnya, Luluh hatiku melihat jenazah bapaku,
 Tiada lagi insan bernama bapa, Yang selalu bersamaku suatu masa dahulu,
Oleh kerana tiada bukti bapaku meninggal secara Islam,
Jadi jasadnya dikebumikan mengikut adat keluargaku.
 Aku terpaksa mengikut adat keluargaku jika aku ingin melihat jenazah bapaku,  Iaitu dengan memakai pakaian serba hitam,
Banyak orang Islam mengutuk ku habis habisan, Kerana ku berpakaian sedemikian, Orang dari keturunan ku juga mengutuk ku habis habisan, Kerana aku memeluk Islam,
Aku buntu kerana dikutuk oleh dua belah pihak,
Aku kuatkan semangat demi Islam,
Sampai dikuburan, bapa aku dikebumikan,
Malam itu kami pulang dalam keadaan kepenatan,
Hiba dihati masih terasa, malam itu ibu bermimpi, Bapaku duduk di satu taman yang cukup cantik,
Taman yang tak pernah ada di dalam dunia ini,
Bila ibu tersedar, ibu terus mendapatkanku,
Sebab aku sahaja yang menjaga bapaku ketika beliau sakit.
Lalu ibuku bertanya, apa yang telah, Aku lakukan kepada bapaku sehinggakan  bapa begitu gembira,
Sambil itu ibu menceritakan mimpinya tersebut,
Lama kutenung wajah tua ibuku, sungguh aku rindukan ibu,
Kuhentikan lamunan tersebut,
Lantas ku khabarkan yang sebenarnya kepada bonda,
“Ibu sebelum bapa pergi, saya telah bisikkan kalimah lailahaillallah
Saya yakin bapa mati dalam Islam, ibu “

Dengan senyum yang penuh kegembiraan,
 Ibuku luahkan hasrat ingin mengikuti ayahku,
Dengan hidayah Allah, ibuku juga Islam, Beliau memelukku dengan penuh kasih sayang,
Allah, itulah pelukan yang kurindu,
 Dua tahun ku nantikan pelukkan itu,
Seluruh keluargaku memeluk Islam,

 Aku bahagia, aku sangat bersyukur,

Di situ juga aku sujud tanda kesyukuran pada Allah,
Mujurlah aku tersedar, jika tidak aku bakal mati sebagai “non-muslim”.
Tidak dapat menghidu bau syurga, nauzubillah,
Di sini aku ingin tinggalkan satu persoalan,

Sahabat-sahabat yang dilahirkan sebagai Muslim,

Bebas menganut agama Islam,

Tidak dihina, disiksa jika menganut Islam,

 Pernahkah anda bersyukur? Cuba renungkan.


Thursday, July 8, 2010

Israk Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj



















PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
                
              "Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. "


(Surah al-Israa: ayat 1).

Sementara itu
Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
                        
"Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar. "



(Surah an-Najm: ayat 13-18). 

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.



SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ



Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi. 

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.







PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ



Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.





KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ

Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan.

Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. 
Ceritanya:
 Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: "Dengan nama Allah." Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: "Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah." Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: :"Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar."  Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: "Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya". Firaun berkata: "Aku akan melakukannya." Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.



DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu
perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala
.




PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.

Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.

Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupa bentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.

Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupa bentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupa bentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.




"Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata."



PENUTUP

Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.

buluh.iluvislam.com.


Wallahualam.



* Penulis merupakan salah seorang Panel Agama di iLuvislam.com. Artikel asal ini diambil daripada blognya di sini: 
Peristiwa Israk Mikraj